Pernahkah anda merasakan bahawa doktor selalu bertanya soalan yang tiada kaitan dengan sakit anda? Pernahkah anda merasa rimas dengan soalan doktor yang terlalu banyak?
Hari ini saya ingin menjelaskannya. Ini kerana, sejarah kesihatan yang lengkap akan memudahkan doktor mengenalpasti penyakit apa yang dihidapi, sekaligus mempercepatkan rawatan yang perlu anda terima.
Sejarah simptom yang menyebabkan anda datang ke hospital perlulah diberi dengan jelas dan terperinci. Contohnya jika anda datang ke hospital kerana batuk, anda perlu jelaskan adakah batuk berkahak atau tidak? Apakah warna kahak anda? Adakah batuk itu akan menjadi lebih teruk apabila terkena cuaca sejuk atau debu/terdedah pada bahan kimia? Sudah berapa lama anda batuk? Adakah anda pernah batuk sebelum ini?
Adakah batuk itu turut diikuti oleh simptom-simptom lain seperti susah bernafas, sakit dada atau demam?
Perkara ini penting untuk membezakan dan mencari punca batuk tersebut, sama ada batuk itu disebabkan oleh jangkitan kuman di paru-paru (Pneumonia), atau penyakit Tibi (batuk kering), atau kanser paru-paru, atau flu.
Doktor akan bertanyakan banyak soalan dan anda perlulah menjawab segala soalan tersebut dengan jujur dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh temubual ini.
Semakin terperinci cerita anda, semakin baik dan semakin mudahlah para doktor mengenalpasti apa punca penyakit yang anda hidapi dan semakin cepatlah juga doktor berjaya menentukan rawatan yang terbaik untuk anda.
Jangan terasa hati sekiranya para doktor bertanyakan bahawa adakah anda adalah perokok atau tidak, kerana rokok adalah antara risiko yang akan menyebabkan anda mendapat banyak jenis penyakit, sama ada penyakit jantung, paru-paru atau kanser.
Doktor juga akan bertanya soalan-soalan sensitif seperti pengambilan dadah dan hubungan seksual, kerana perkara ini boleh berkait rapat dengan penyakit yang anda hadapi.