Awal pagi itu, saya dikejutkan dengan panggilan telefon dari Jabatan Kecemasan di hospital saya.
Doktor di A&E: Hi, Dr. Yaqeen. Saya ada seorang pesakit berusia 25 tahun, Denggi hari ke-5, plateletnya 7 (Normal: 150 hingga 410). Doktor nak terima ke kes ni?
Saya: OK, baik. Nanti saya datang.
Denggi adalah antara penyakit yang sering berlaku di kalangan warga kota. Ia berpunca daripada nyamuk yang bernama “Aedes Aegypti“, yang suka membiak di kawasan air bertakung.
Antara tanda-tanda demam Denggi adalah demam, sakit badan, sakit sendi, sakit belakang mata dan pening kepala.
Terdapat 3 fasa penyakit Denggi iaitu:
- Fasa demam (Febrile): Hari 1-4
- Fasa kritikal (Critical): Hari 4-6
- Fasa kesembuhan (Recovery): Hari 7 -10
Fasa yang paling bahaya adalah fasa kritikal, kerana ketika ini, kebiasaannya platelet akan menjunam turun. Masalah pendarahan mudah berlaku ketika ini, kerana platelet adalah agen pembeku darah yang penting dalam badan. Pada fasa ini juga, demam anda akan mula surut. Tanda-tanda yang perlu anda beri perhatian adalah gusi berdarah, hidung berdarah, darah haid berpanjangan/terlalu banyak, atau apa-apa sahaja pendarahan tidak normal.
Denggi juga boleh menyerang otak (Dengue Encephalitis), jantung (Dengue Myocarditis) dan hati (Dengue Hepatitis).
Penyakit Denggi boleh dikesan dengan melakukan ujian darah: Dengue IgM & NS-1.
Rawatan untuk demam Denggi hanyalah air. Mereka perlu dimasukkan air melalui darah (intravenous), menggunakan air Normal Saline. Air perlu dimasukkan ke dalam badan mengikut keperluan pesakit dan perkiraan tertentu. Ubat demam akan diberikan sekiranya masih ada simptom demam.
Seterusnya, apabila anda telah selesai melalui fasa kritikal, maka anda akan melalui pula fasa kesembuhan, di mana platelet anda akan mula meningkat naik. Ruam juga akan mula muncul di kulit. Kebiasaannya, apabila platelet anda sudah mula meningkat naik dan melebihi 50, anda akan dibenarkan untuk keluar dari hospital.