Hari itu, saya bertemu dengan seorang pesakit yang datang bersama isterinya. Isterinya merasa risau kerana suaminya kuat berdengkur ketika tidur, sehingga kadang-kadang menyebabkan pernafasannya turut terhenti sebentar. Kerisauan ini menyebabkan mereka berjumpa saya di Klinik Paru-paru.
Isteri pesakit: Doktor, pak cik ni kuat berdengkur waktu tidur. Kadang-kadang tu, dia berhenti bernafas sekejap untuk beberapa minit. Risau mak cik dibuatnya. Susah mak cik nak tidur satu hal juga. Bahaya ke doktor kalau pak cik kuat berdengkur ni?
Saya: Pak cik selalu ke mengantuk pada waktu siang? Macam kalau sedang memandu, sering mengantuk ke?
Pesakit: Ya.. Pak cik dah 3 kali accident sebab mengantuk masa memandu.
Saya: OK, pak cik perlu buat ujian tidur (Sleep Study) ni. Pak cik mungkin menghidap penyakit Obstructive Sleep Apnoea (OSA).
Tidur berdengkur dan mengantuk pada waktu siang adalah antara tanda penyakit Obstructive Sleep Apnea (OSA), di mana saluran pernafasan kita tersekat ketika tidur. Tanda-tanda lain penyakit ini adalah keletihan pada siang hari, sukar fokus/menumpukan perhatian, pening kepala dan tekak kering pada waktu pagi. Ia terjadi kerana ketika tidur, otot-otot di bahagian leher, tekak dan lidah berada dalam keadaan rehat dan ia tidak dapat dikawal sehingga menutup saluran pernafasan.
Ini akan menyebabkan badan kekurangan oksigen. Apabila badan kekurangan oksigen, badan akan mengesannya, lalu mengejutkan kita untuk bangun, bagi membuka semula saluran pernafasan yang tertutup. Setelah kita terbangun dan saluran pernafasan terbuka, badan akan mendapat oksigen yang cukup, lalu kita akan tertidur semula. Apabila kita tidur, saluran pernafasan akan tertutup semula, dan kita akan terbangun lagi. Kitaran ini akan terus berlaku sepanjang malam, sehingga mengakibatkan tidur kita terganggu, dan kualiti tidur yang tidak baik.
Tidur yang tidak berkualiti dan kekurangan oksigen ketika tidur yang berterusan boleh mengakibatkan penyakit lemah jantung, darah tinggi dan berisiko tinggi untuk mendapat angin ahmar (stroke) dan serangan jantung (heart attack) dan juga penyakit buah pinggang kronik. Cara mengesan penyakit ini adalah dengan melakukan ujian tidur (sleep study) atau Polysomnogram. Rawatan utama untuk penyakit ini adalah dengan memakai mesin CPAP (Continuous Positive Airway Pressure), yang perlu dipakai pada waktu malam, bagi memberikan tekanan udara agar saluran pernafasan sentiasa terbuka sepanjang malam.
OSA adalah antara penyebab banyak kemalangan jalan raya, kejadian tumpahan minyak di laut dan kejadian letupan radio nuklear di Chernobyl, disebabkan pekerja mengantuk ketika bekerja dan memandu.