Doktor di A&E: Hi, Dr Yaqeen. Boleh saya refer satu kes Influenza?
Saya: Hi. Yes. Boleh. Teruskan.
Semalam ada lagi pesakit Influenza A yang dirujuk kepada saya. Setakat ini, sudah 14 kes Influenza A yang saya terima sepanjang bulan Disember ini.
Faktor hujan yang kerap di sepanjang bulan ini antara punca kekerapan berlakunya penyakit ini. Kemungkinan ia akan berterusan sehingga bulan Februari atau Mac, selari dengan musim angin Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat terutamanya ke negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.
Kebanyakan mereka datang dengan simptom demam, batuk, selesema, pening, tidak bermaya dan sakit tekak.
Influenza A adalah radang saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus Influenza A. Kebiasaannya penyakit ini akan sembuh dengan sendiri tanpa sebarang ubatan, tetapi sekiranya pesakit mengalami simptom yang teruk seperti batuk yang teruk dan berpanjangan, demam dengan suhu yang terlalu tinggi dan hilang selera makan, maka perlulah dimasukkan ke dalam wad untuk dimasukkan air (IV Drip), agar badan tidak kering.
Badan yang kering (dehydration) boleh menyebabkan denyutan nadi menjadi laju dan boleh menyebabkan kecederaan buah pinggang akut (Acute Kidney Injury). Oleh sebab itu perlu masuk wad untuk dimasukkan air.
Setelah itu, mereka akan diberikan ubat antivirus (Oseltamivir), ubat demam, ubat batuk dan ubat selesema.
Kebiasaannya pesakit mengambil masa 2 atau 3 hari di dalam wad sebelum dibenarkan pulang. Pesakit hanya dibenarkan pulang sekiranya tiada lagi demam selama 24 jam. Ubat anti-viral (Oseltamivir) perlu diambil sekurang-kurangnya 5 hari.
Jika ada rakan-rakan/ahli keluarga yang disahkan menghidap Influenza A, mereka perlulah mengasingkan diri dan memakai pendakap muka (face mask), agar virus ini tidak tersebar kepada orang lain. Virus Influenza A boleh merebak melalui udara.
Minum air sebanyak mungkin bagi mengelakkan badan menjadi kering. Anda boleh mendapatkan vaksin Influenza setelah sembuh, bagi mengelakkan dari terkena jangkitan ini sekali lagi.