Seperti biasa, saya akan melihat pesakit di klinik pada waktu pagi dan petang setelah selesai melakukan rondaan wad. Pagi itu, saya bertemu dengan salah seorang pesakit yang menghidap penyakit asma.
Pesakit: Doktor, saya dah pakai ubat yang doktor bagi ni, tapi kenapa asma saya masih tak terkawal? Betul ke ubat yang doktor bagi saya ni?
Saya: OK, cuba kamu tunjukkan cara kamu pakai inhaler.
Pesakit menunjukkan caranya menggunakan inhaler. Ternyata teknik penggunaan inhalernya salah. Banyak kebocoran ubat berlaku di sekeliling muncung inhaler menyebabkan tidak semua ubat dari inhalernya berjaya sampai ke dalam saluran pernafasan dan paru-parunya.
Saya: OK, teknik menggunakan inhaler kamu ni tak betul. Kamu perlu gunakan teknik yang betul supaya ubat boleh masuk betul-betul ke dalam paru-paru dan memberi kesan.
Saya: Kamu ada bela kucing di rumah?
Pesakit: Saya ada 5 ekor kucing kat rumah. Semua manja dengan saya. Setiap malam nak tidur dengan saya.
Saya: Kamu ada karpet di rumah?
Pesakit: Ya, saya baru beli karpet baru, diimport dari Turki.
Saya: Suami kamu merokok?
Pesakit: Ya, tapi dia selalu merokok di luar rumah.
Saya: Kamu selalu ke bersin pada awal pagi? (Ini adalah antara tanda penyakit resdung / Sinusitis dan Allergic Rhinitis).
Pesakit: Ya, terutamanya selepas mandi. Saya kerap bersin.
Saya: Kalau kamu makan, ada tak kamu rasa makanan tu macam naik ke atas tekak semula dan kadang-kadang rasa macam masam di hujung tekak (Ini adalah antara tanda penyakit Reflux/ Gastroesophageal Reflux Disease – GERDS).
Pesakit: Ya.. Selalu rasa macam tu, terutamanya sejak berat badan saya meningkat 10 kg sejak setahun lepas.
Saya: OK, jadi ini menjelaskan kenapa asma kamu tidak terkawal. Banyak puncanya dari info yang saya dapat dari cerita kamu.
1) Teknik memakai inhaler/alat sedut yang salah. Teknik yang betul adalah bibir kamu perlu menutupi muncung inhaler dengan baik sehingga tiada kebocoran ubat dari inhaler yang berlaku, dan ubatan inhaler itu boleh sampai ke saluran pernafasan dan paru-paru dengan baik.
2) Ada banyak faktor penyebab atau triggers di sekeliling kamu, iaitu kucing, karpet dan asap rokok suami kamu. Walaupun suami merokok di luar rumah, asap rokok yang melekat di bajunya masih boleh menjadi penyebab asma kepada seisi rumah yang lain. Kita panggil ini sebagai ‘Third hand smoker’s effect’.
3) Penyakit berkaitan asma seperti resdung dan Reflux. Asma adalah suatu penyakit yang saling berkaitan dengan penyakit-penyakit lain seperti penyakit resdung, penyakit Reflux, penyakit Eczema dan kegemukan. Sekiranya penyakit-penyakit terkait ini tidak dikawal dengan baik, selagi itulah penyakit asma kamu tidak akan terkawal. Amat penting untuk kita memastikan kawalan penyakit-penyakit terkait ini adalah baik bagi memastikan kawalan asma anda juga adalah bagus.
Nota: Asma adalah penyakit yang boleh dikawal. Pastikan teknik inhaler anda betul, kawal penyebab/triggers, dan pastikan penyakit lain yang berkaitan asma adalah terkawal, nescaya, penyakit asma anda boleh dikawal.