Pagi itu, saya melakukan rondaan wad seperti biasa untuk melihat perkembangan pesakit-pesakit yang sedang menerima rawatan. Begitulah rutin seharian sebagai seorang doktor pakar perubatan, di mana kami perlu melakukan rondaan sebanyak dua kali sehari pada waktu pagi dan petang bagi memastikan keadaan pesakit stabil dan rawatan berjalan lancar.
Antara pesakit yang sedang dirawat adalah seorang pesakit yang sedang menghidap penyakit Denggi – Encik A.
Encik A: Biarkanlah saya mati sahaja, doktor.
Saya: Kenapa encik kata macam tu?
Encik A: Doktor, saya ni bukanlah orang kaya. Duit yang saya gunakan untuk membayar bil hospital ni adalah duit hasil titik peluh saya selama bertahun-tahun. Kalau saya terpaksa tinggal di dalam hospital untuk lagi 10 hari, banyaklah hutang saya nanti. Biarkanlah saya keluar wad dan mati sahaja di luar sana.
Saya: I see.. Sebenarnya penyakit Denggi encik ni dah nak sampai fasa kesembuhan (recovery). Sekarang ni sedang fasa kritikal. Penting sangat untuk encik duduk di hospital supaya doktor boleh monitor keadaan encik. Tambahan pula platelet encik sekarang dah tinggal 6 je. Normal platelet adalah lebih dari 180. Sangat bahaya. Bila-bila masa sahaja encik boleh mengalami pendarahan otak atau pendarahan usus. Saya harap encik boleh bertahan lagi untuk beberapa hari. Jangan berputus asa dulu.
Encik A: Doktor boleh jamin ke platelet saya akan naik? Macam mana kalau dia terus 6 je sampai bila-bila?
Saya: Kita dah banyak rawat penyakit Denggi ni. Kebiasaannya dalam tempoh 8-10 hari mereka akan sembuh. Pak cik yang duduk di sebelah encik tu, saya akan bagi dia balik hari ni sebab platelet dia dah naik 54. Kelmarin platelet dia 15 je. Insya-Allah esok atau lusa, encik pun akan ikut jejak langkah dia, boleh balik rumah dah. Bersabar sikit lagi, ya.
Encik A: OK lah, doktor. Saya ikut nasihat doktorlah kali ni. Harapnya esok atau lusa saya dah boleh balik.
Saya: Insya-Allah. Banyakkan berdoa dan banyakkan minum air. Segalanya akan OK dan kembali seperti biasa dalam beberapa hari. Sikit je lagi. You’re already 80% through the battle.
Encik A: OK. Will try my best.