Malam itu, tidur saya dikejutkan oleh panggilan telefon dari Jabatan Kecemasan hospital (A&E).
Doktor di A&E: Hi, Dr. Yaqeen. Ada satu kes saya nak rujuk kepada doktor. Pesakit lelaki berusia 62 tahun, baru keluar dari wad sebulan lepas kerana pendarahan di usus. Kali ini mengadu susah bernafas dan demam selama dua hari. Ada tompokan putih yang baru di x-ray dadanya.
Saya: OK. Nampak macam Hospital Acquired Pneumonia (HAP). Saya akan datang sebentar lagi.
Terdapat beberapa jenis Pneumonia (Jangkitan kuman di paru-paru) yang perlu kita ketahui:
- Pneumonia Komuniti (Community Acquired Pneumonia) (CAP): Pneumonia yang disebabkan oleh dari kuman dari komuniti masyarakat umum.
- Pneumonia Hospital (Hospital Acquired Pneumonia) (HAP): Pneumonia yang disebabkan oleh kuman dari hospital.
- Pneumonia Ventilator (Ventilator Acquired Pneumonia) (VAP): Pneumonia yang disebabkan oleh kuman dari ventilator (mesin bantuan pernafasan).
- Pneumonia Fasiliti Kesihatan (Healthcare Acquired Pneumonia) (HCAP): Pneumonia yang disebabkan oleh kuman dari pusat kesihatan seperti pusat dialisis, rumah orang tua dan sebagainya.
Setiap jenis jangkitan kuman ini perlu dirawat menggunakan antibiotik yang berbeza-beza. Oleh itu, sejarah penyakit sangat penting untuk menentukan sama ada anda menghidap Pneumonia dari jenis yang mana satu dan menentukan jenis antibiotik yang perlu anda terima.
Berilah kerjasama yang baik dengan doktor anda. Berikan sejarah penyakit yang tepat. Ketahui nama dan jenis ubat-ubatan anda. Ambil tahu tentang nama dan tahap penyakit anda. Lebih baik jika anda mempunyai fail kesihatan sendiri, dan simpan segala dokumen kesihatan dalam fail tersebut.
Bila berjumpa doktor, di klinik atau di hospital, tunjukkan segala dokumen kesihatan anda dari fail tersebut. Sikap tanggungjawab terhadap kesihatan diri sendiri ini sangat membantu para doktor dan ianya akan membantu memperbaiki tahap kesihatan, rawatan dan pengetahuan anda terhadap kesihatan diri sendiri.