Semalam, ketika bertugas, saya bertemu dengan seorang pesakit wanita berusia 28 tahun. Dia mengadu batuk, demam dan selesema selama 3 hari. Test Influenza A nya positif.
Pesakit: Saya kerap masuk hospital kebelakangan ni, doktor. Saya baru menghidap radang kelenjar leher kanan 2 minggu lepas dan jangkitan kulit 2 bulan lepas.
Saya: Pelik. Kenapa seorang yang masih muda seperti kamu ni menghidap begitu banyak jangkitan kuman. Kamu ada kerap berasa haus dan kerap kencing waktu malam? Ibu atau ayah kamu ada yang menghidap kencing manis dan darah tinggi?
Pesakit: Ya, doktor. Bila doktor tanya, baru saya sedar. Saya memang kerap berasa haus dan kerap kencing waktu malam sejak setahun lepas. Ibu bapa saya memang menghidap kencing manis dan darah tinggi.
Saya: Keputusan ujian Hba1c (purata kandungan gula dalam darah selama 3 bulan) kamu 9.5 (bacaan yang tinggi). Air kencing kamu mengandungi gula dan tekanan darah kamu juga tinggi. Aras kolesterol kamu juga tinggi. Kamu menghidap penyakit Sindrom Metabolik (Metabolic Syndrome) atau lebih dikenali sebagai penyakit ‘tiga serangkai’; kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi. Terdapat tanda Acanthosis Nigricans (Tanda kehitaman dan kulit sedikit tebal) di bahagian belakang leher kamu. Ini juga adalah antara petandanya.
Kita akan mulakan rawatan untuk kencing manis, kolesterol dan tekanan darah tinggi, dan merujuk kamu kepada pakar pemakanan.
Saya seterusnya menerangkan mengenai penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi. Pentingnya mengawal kandungan gula dalam darah, mengawal tekanan darah tinggi dan menurunkan aras kolesterol. Dia agak sedih saat mendengar semua ini, tetapi dia berazam untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan makan makanan berkhasiat.
Dia beruntung kerana penyakit tiga serangkainya dapat dikesan awal. Kalau tidak, dia akan terkena berbagai komplikasi serius seperti angin ahmar, serangan jantung dan kegagalan buah pinggang.