
Hari itu, pesakit saya, seorang pak cik berbangsa Cina, berusia 62 tahun, dirawat sebagai pesakit Denggi pada hari ke-7, menunjukkan kepada saya ruam di kakinya.
Pesakit: Kenapa ada ruam baru muncul di kaki saya ini, doktor?
Saya: Ini adalah suatu berita yang baik! Tahniah! Penyakit Denggi pak cik sudah semakin beransur sembuh.
Pesakit: Oh.. Lega mendengarnya. Bahaya ke ruam ni, doktor?

Saya: Oh, ruam ni tak bahaya langsung! Dia akan hilang dengan sendiri dalam beberapa hari saja. Ruam ini dipanggil, ‘Pulau Putih di Laut Merah’ (Island of white in the sea of red). Nikmatilah keindahan pemandangan ruam ini semasa dia masih ada. Mungkin ini pengalaman yang hanya akan datang sekali seumur hidup!
Pesakit: Hahaha.. Ya doktor, saya dah ambil banyak gambar dah.. Agaknya esok saya boleh balik ke, doktor?
Saya: Insya-Allah boleh! Platelet pak cik semakin naik. Jadi, malam ni, rehat elok-elok supaya esok boleh balik rumah.
Pesakit: Terima kasih, doktor!
Saya: Sama-sama, pak cik!
(Platelet adalah agen pembeku dalam darah. Kebiasaannya ia akan rendah/berkurang di dalam badan pesakit Denggi.)
Ruam adalah antara tanda-tanda penyakit Denggi semakin sembuh dan ianya akan hilang dengan sendiri. Nikmatilah pemandangan ruam ini sementara mereka masih ada!
Dr. Nurul