
Kepada para hijabista/wanita di luar sana, tolong berhati-hati ketika memakai hijab/tudung dengan menggunakan pin kerana ia boleh mencederakan paru-paru anda!
Memegang pin tudung menggunakan mulut/ bibir/gigi ketika menggayakan hijab adalah sangat berbahaya kerana pin itu boleh terlepas masuk ke dalam mulut, seterusnya pergi ke paru-paru dan mencederakan paru-paru. Sekiranya pin tersebut tidak segera dikeluarkan, pesakit boleh mengalami masalah susah bernafas, sakit dada, batuk berdarah dan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan kuman di paru-paru.
Sekiranya ia berlaku, pembedahan dengan bius penuh terpaksa dilakukan menggunakan kaedah Rigid Bronchoscopy (kamera untuk melihat ke dalam paru-paru).

Banyak kes yang telah dilaporkan melibatkan wanita berhijab yang mengalami masalah pin tersekat di paru-paru. Kebiasaan yang berlaku adalah apabila wanita sedang menggayakan hijab sambil memegang pin menggunakan bibir atau gigi, kemudian terbatuk/ tersedak/bercakap/terjatuh/badannya tertolak ketika itu, menyebabkan pin tadi secara tidak sengaja terlepas dari gigitan gigi/ketapan bibir, seterusnya menggelungsur masuk ke dalam saluran pernafasan dan terus ke paru-paru.
Ramai pesakit wanita yang bernasib baik kerana pin tudung tersebut telah berjaya dikeluarkan dengan selamatnya oleh doktor pakar paru-paru menggunakan teknik Flexible Bronchoscopy atau Rigid Bronchoscopy. Namun begitu, ramai juga pesakit yang tidak bernasib baik di mana pin tersebut tidak berjaya dikeluarkan, sehingga terdapat kes yang boleh menyebabkan kematian.
Adalah lebih selamat meletakkan pin tersebut di lengan tangan baju atau di tempat lain sahaja ketika menggayakan hijab/tudung anda. Mungkin meletakkan pin di celah bibir/ gigi adalah lebih mudah untuk anda menggayakan tudung, namun begitu, keselamatan perlulah diutamakan.
Jangan pegang pin tudung menggunakan mulut/bibir/gigi ketika memakai tudung/hijab.
Dr. Nurul