Hari itu saya telah memberi keizinan untuk pulang ke rumah bagi pesakit saya yang berusia 28 tahun yang baru disahkan menghidap penyakit METABOLIC SYNDROME atau 3 serangkai, yang meliputi penyakit darah tinggi, kencing manis dan obesiti/kegemukan. Bacaan gulanya telah beransur turun ke 7.3 (normal<6). Tekanan darahnya juga sudah normal.
Dia sangat gembira kerana akhirnya dibenarkan pulang ke rumah.
Pesakit: Doktor, kalau saya kawal makan dan bersenam, penyakit kencing manis saya ni boleh sembuh tak?
Saya: Ada sesetengah pesakit yang kencing manisnya boleh dikawal dengan cara mengubahsuai tabiat pemakanan dan gaya hidup. Namun begitu, ada juga yang tidak cukup hanya dengan mengubah tabiat pemakanan dan gaya hidup dan memerlukan ubatan doktor. Buat masa sekarang, kita cuba strategi ubah gaya hidup, pemakanan sihat dan makan ubat dulu, lepas tu kita tengok masa follow-up macam mana, ya?
Pesakit: Apa kaitan senaman dengan penyakit kencing manis?
Saya: Senaman meningkatkan sensitiviti hormon insulin, jadi, gula akan lebih mudah ditukarkan ke bentuk lain. Jadi, paras gula dalam darah akan mudah turun. Senaman juga melancarkan pengaliran darah dan boleh memberikan emosi dan mood yang positif kerana ada hormon endorphin yang akan keluar bila kita bersenam.
Saya: Kajian menunjukkan senaman yang mencukupi dan berkesan adalah sebanyak 150 minit seminggu, meningkatkan denyutan nadi sebnyak 10% dari biasa dan mengeluarkan peluh. Senaman juga boleh membantu mengurangkan berat badan dan juga mengurangkan tekanan darah tinggi.
Pesakit: Wah.. Menariknya. OK, saya akan cuba. Zumba atau berenang pun boleh kan, doktor?
Saya: Tentu boleh. Selamat bersenam!