
Hari itu saya memberi keizinan pulang untuk seorang pesakit Denggi. Ingat lagi pak cik yang saya ceritakan dalam kisah 16 & kisah 17? Ya, pak cik bijak tersebut!
Saya: Alhamdulillah, akhirnya pak cik dapat juga pulang ke rumah. Setelah melalui pelbagai seksaan dan penderitaan di hospital. Kena gari dengan IV Drip, kena ambil darah hari-hari..akhirnya ianya telah berakhir, kan pak cik?
Pak Cik: Ya.. Gembira betul pak cik harini. Pak cik dah siap kemas dah semua barang-barang pak cik. Baju pun dah siap tukar dah. Tinggal nak telefon isteri pak cik je untuk datang jemput pak cik. Tapi tulah, yang lain-lain semua saya boleh tahan.. tapi yang IV Drip ni memang tak boleh tahan. Dahlah saya kena jaga dia, bunyi dia bising pulak tu. Nak tidur pun susah.
Saya: Ya.. Saya dapat lihat kekecewaan pak cik, tapi, saya sangat gembira kerana harini segala penderitaan dan kesengsaraan pak cik telah berakhir. Bolehlah pak cik teruskan hidup seperti biasa selepas ini.
Pak Cik: Ya.. Bak kata pepatah; bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.
Saya: Ya.. Pak cik memang seorang yang bijak!
Segala kesusahan yang dihadapi hari ini akan berakhir suatu hari nanti, jika kita terus berusaha dan bersabar. Kesukaran akan diikuti oleh kesenangan. Jangan berputus asa dan teruslah berusaha!
Dr. Nurul