KISAH 23: Setiap Titik Peluh Doktor Akan Dibalas Pahala

KISAH 23: Setiap Titik Peluh Doktor Akan Dibalas Pahala

Table of Contents

Aku teringat pengalaman ketika bertugas sebagai doktor pelatih beberapa tahun dahulu. Ketika itu, hari bekerja dimulakan seawal jam 6.30 pagi dan waktu bekerja tamat selewat jam 10 malam. Kehidupan pada waktu itu adalah sangat memenatkan. Namun, kerana memenuhi keperluan tugasan seorang doktor, hati ini tetap bersabar dan bertahan untuk meneruskan sebuah kehidupan.

Setiap hari ketika melangkah ke tempat kerja, aku akan berdoa, “Ya Allah, ikhlaskanlah hati ini untuk merawat pesakit-pesakit ini demi mencari keredaanMu. Berikanlah kekuatan kepada diri ini untuk melaksanakan segala tugasan yang diberikan dengan baik dan sempurna. Amin, Ya Rabb.

Ketika melangkah pulang dari hospital, kukatakan pada diri, “Semua ini akan berakhir..Semua ini akan berakhir.” Begitulah doa dan kata-kata semangat yang memberi kekuatan untukku meneruskan kehidupan sebagai seorang doktor pelatih ketika itu. Alhamdulillah. Tempoh tersebut sudah pun berlalu. Namun begitu, masih terkesan beberapa babak kisah hidup ketika itu di dalam memori.

Doktor, rehatlah sebentar. Pak cik tengok doktor dari tadi tak berhenti ke sana ke mari, ambil darah, buat prosedur dan memeriksa pesakit,” kata seorang pesakit kepadaku.

Ketika itu aku sedang melakukan tugasan sebagai doktor pelatih. Peristiwa ini telah lama berlaku beberapa tahun dahulu, namun begitu, ianya masih lagi segar di fikiranku, seolah-olah ianya baru berlaku semalam.

Tak pe je pak cik. Saya dah biasa. Ini memang tugas saya. Saya perlu melakukannya sebaik mungkin,” kataku. Hati ini terasa sebak. Ada juga pesakit yang memerhatikan dan mengambil berat tentang keadaan seorang doktor pelatih ini.

Kalau ikutkan hati, memang aku ingin segera pulang ke rumah ketika itu juga. Setelah tugasan on-call semalam yang sibuk, kerja harianku masih belum dapat diselesaikan sehingga saat ini, walaupun jarum jam sudah menunjukkan pukul 7 malam.

Ada beberapa pesakit lagi yang belum diambil darah. Perut pula sudah lama berkeroncong kerana tidak sempat makan tengah hari. Kaki ini pula sudah terasa seperti akan patah dalam beberapa saat lagi.

Pak cik genggam tangan kuat-kuat, saya nak ambil darah pak cik sekejap, ya?” kataku sambil memasukkan jarum picagari ke salur vena pak cik tadi.

OK, pak cik dah boleh lepaskan genggaman tangan. Kita dah siap,” ujarku setelah proses pengambilan darah selesai.

Doktor dah makan tengahari tak ni? Dari pagi tadi pak cik tengok doktor sentiasa ada di wad. Tadi anak-anak pak cik ada datang bawakan roti kacang ni untuk pak cik makan, tapi pak cik dah kenyang dengan makanan hospital. Doktor ambillah roti ni, buat alas perut,” jelas pak cik sambil menghulurkan roti kacang.

Ketika itu, air mataku sudah tidak dapat ditahan lagi. Ibarat tembok empangan yang sudah tidak dapat menahan tekanan air yang bertakung, air mataku jatuh mencurah-curah tanpa dapat dikawal.

Sabarlah doktor. Pak cik tahu dan nampak dengan jelas, betapa kerjaya doktor ini sungguh memenatkan.. dan kadangkala menyakitkan hati juga apabila terpaksa berdepan dengan berbagai karenah pesakit. Tugas yang doktor lakukan ini sangat mulia.

Setiap langkah yang diambil untuk memeriksa pesakit dan membuat rawatan, akan diganjari dengan ganjaran pahala yang tidak ternilai. Setiap rondaan wad yang dilakukan akan diganjari dengan pahala menziarahi orang sakit.

Setiap titisan peluh yang mengalir akan diganjari dengan berpuluh ganda pahala kebaikan. Ketahuilah.. segala makhluk di langit dan di bumi sentiasa berselawat dan mendoakan orang-orang yang membuat kerja-kerja kebaikan seperti apa yang doktor sedang lakukan ini.

Ganjaran menyelamatkan nyawa seorang manusia adalah sama seperti ganjaran menyelamatkan nyawa seluruh manusia di muka bumi ini. Berbahagialah doktor, di atas peluang mencurahkan kebaikan kepada sesama manusia yang telah Allah berikan buat doktor. Semoga Allah sentiasa merahmati doktor sehingga ke akhirnya. Amin, ya Rab“. Pak cik mengakhiri kata-katanya. Tangannya diraupkan ke muka seperti baru selesai berdoa. Air mataku terus mengalir deras membasahi pipi dan tudungku.

Terima kasih pak cik, “kataku terputus-putus. “Terima kasih di atas roti ini, atas keprihatinan pak cik.. dan atas kata-kata nasihat yang sungguh mengesankan. Memang itulah kata-kata yang saya sangat perlukan sekarang,” tambahku lagi.

Kebiasaannya doktor yang akan menenangkan pesakit, tetapi kali ini sebaliknya yang berlaku. “Terima kasih, ya Allah, kerana telah menghadirkan pak cik ini ke dalam hidupku hari ni,” bisikku dalam hati. Suatu hari yang memang tidak akan kulupakan sampai bila-bila, sehingga ke hari ini, dan setiap kali aku patah semangat, kata-kata pak cik tadilah yang akan kuulang tanpa jemu.

Semangat yang hilang, kadangkala dijumpai dalam keadaan yang tidak tersangka. Teruskanlah kehidupan dengan penuh pengharapan kepadaNya.

Dr. Nurul

Diambil dari buku Dr. Nurul: ‘Paru-Paru: Nafas Baru‘ (2021)

Terdapat sekarang di https://whitecoat.onpay.my/order/form/wc006

Share this post

Search Blog Post

Dr. Nurul Yaqeen

Consultant Respiratory, Internal Medicine Physician, Sleep Disorders Specialist

Hospital

Sunway Velocity Medical Centre, Lingkaran SV, Sunway Velocity, 55100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Hospital: +603-9772-9191
Clinic: +603-9772-9365
Direct: +603-9772 9364

Clinic Hours

Mon-Fri – 9am-5pm
Sat – 9am-1pm
(walk-in or appointment)

Languages Spoken

English
Bahasa Malaysia
Bahasa Indonesia
Arabic

Follow Dr. Nurul

Facebook Posts

Patient Testimonials

More Articles

Schedule An Appointment

Dr. Nurul Yaqeen

Consultant Respiratory & Internal Medicine Physician. MBBS, MRCP, Respiratory Medicine Fellowship, International Sleep Disorders Specialist.

Request an Appointment
with Dr. Nurul Yaqeen.

Please note that Dr. Nurul only consults and treats patients 12 years old and above.

or you can click any of the buttons below